Wednesday, January 27, 2010

Tiada Persefahaman

Entah dimana silapnya, skuad Red Warriors dilihat masih gagal mendapat sebarang gol malah gagal langsung menterjemahkan perlawanan kepada kemenangan apabila bertandang ke arena lawan dalam saingan TM Liga Super 2010.

Diikat seri 0-0 dalam dua perlawanan awal bermula di Kuala Terengganu sebelum bertandang ke Kangar, Perlis, Kelantan sekali lagi gagal mencari sekurang-kurangnya satu gol apabila terikat tanpa jaringan dengan Perak malam semalam.

Dicanangkan kepada umum, skuad 2010 merupakan skuad rakyat, skuad yang mampu mencapai impian mendakap kejuaraan namun setelah enam perlawanan dilalui bukan pujian yang dihamburkan tetapi kebanyakannya kritikan yang memedihkan telinga menyakitkan mata.

Apa tidaknya, jauh perjalanan yang dilalui penyokong setia seakan tidak berbaloi dengan persembahan yang ditonjolkan pemain malah kesetiaan mereka kepada skuad berstatus bintang ini bagaikan satu pembaziran setelah mereka gagal untuk memberi sesuatu kepada golongan fanatik yang bertandang ini.

Mengapa ini terjadi sedangkan beratus ribu sudah dihabiskan untuk mengubah sebuah pasukan yang dilabel tidak bagus kepada pasukan yang mampu menghadirkan gerun buat lawan untuk bertemu Sang Kijang.

Dibarisi bintang Malaysia selain anak tempatan yang terbaik tetapi bila turun kedalam padang, mereka buntu menghidu sebarang peluang menjaringkan gol yang dinantikan peminat. Adakah mereka tertekan dengan prospek kejuaraan yang disasarkan persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehinggakan tidak mampu menangani situasi ini.

Apa lagi yang dimahukan para pemain yang menyarung jersi merah serba baru tahun ini,. Segalanya yang mereka perlukan telah diberikan untuk kemudahan kepada 25 pemain seperti pembayaran gaji pada cukup bulan, elaun perlawanan, bonus kemenangan, rumah rehat dan bermacam-macam lagi kemudahan yang tidak didedahkan kepada umum.

Tetapi para pemain pula seperti tidak menghargai jasa KAFA setelah bermain sambil lewa ketika turun kedalam padang.

Yang pastinya, barisan kejurulatihan yang diketuai B. Sathianathan harus menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk merombak pasukan kerana setelah tampil dalam tujuh perlawanan, mereka menunjukkan hala tuju yang tidak seimbang dengan kemahuan KAFA dan Tentera Merah.

Ketika pasukan elit lain sedang memacu laju untuk berada di singgahsana, Kelantan pula masih terkapai-kapai mencari tonik terbaik untuk menterjemahkan perlawanan kepada tiga mata yang diburu.

Justeru itu, Sathianathan, Hashim dan Sidek harus mencuba segala yang termampu mereka untuk membentuk persefahaman jitu kepada pemain mereka agar dapat menunjukkan aksi yang konsisten serta mencuba mencari gandingan baru yang dapat menjadi pemusnah kepada lawan.

Mereka harus menutup mulut pengkritik dan menunjukkan keupayaan mereka kepada semua yang mengikuti perjalanan pasukan kerana sekarang ini, kredibiliti mereka telah tercabar dek kerna segelintir peminat yang merasakan mereka lebih pandai dalam mengatur strategi pasukan untuk mencatatkan kemenangan.

No comments: